PETALING JAYA – Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus mencadangkan agar individu yang sering merasakan dirinya sentiasa betul dalam segala hal, perlu hadir ke masjid dan mendengar kuliah agama bagi mengubat ‘penyakit’ tersebut.
Menurut Ustaz Azhar, dia menggelarkan sifat tersebut sebagai ‘penyakit’ kerana ia dilihat popular dalam kalangan masyarakat.
“Ini adalah ‘penyakit’ masyarakat. Kalau sakit secara zahir, jasmani boleh pergi ke hospital (dapatkan rawatan). Kalau sakit rohani, pergi masjid dengar majlis ilmu untuk ‘berubat’.
“Kalau penyakit yang selalu rasa dia sentiasa betul ini, dekat hospital tak ada (ubat). Tak ada benda yang betul, yang selalu betul ialah Rasul dan Nabi,” katanya ketika menjawab soalan berkaitan apakah hukum seseorang itu yang selalu merasakan diri dia selalu betul dalam setiap perkara.
Beliau menjawab soalan tersebut pada sesi kuliah di sebuah masjid, baru-baru ini.
Katanya, apabila seseorang itu sering merasakan dirinya sentiasa betul, ia adalah petanda bahawa individu terbabit berada pada landasan yang salah.
“Rasa betul itu adalah tanda tak berapa nak betul. Sifir kita mudah, siapakah orang yang baik, orang yang rasa dirinya tak baik. Siapa orang yang jahat, orang yang rasa dirinya baik.
“Jangan latih diri untuk sentiasa rasa betul. Walaupun kita betul, rendah diri. Imam Syafi’i, gurunya ada lebih 1,000 orang, ilmu tak tahu ada banyak mana.
“Beliau pernah berkata, setiap kali bertambah banyak pengetahuan aku, bertambahlah aku tahu yang aku ini orang yang tidak tahu,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE