fbpx

Rumah berlumut, lantai berlubang akibat bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk melihat peralatan rumah mereka disaluti lumpur di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun semalam.

DUNGUN – Sebahagian 463 penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor, Hulu Dungun yang baru dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) kelmarin, sayu melihat kerosakan dialami rumah ma­sing-masing akibat banjir lumpur berlaku 25 Januari lalu.

Selain kerosakan pada struktur rumah, rata-rata perabot, peralatan elektrik dan pakaian mereka turut musnah ditenggelami lumpur tebal.

Salah seorang penduduk, Norhazilah Hamzah, 35, berkata, sebahagian besar lantai rumahnya berlubang akibat banjir lumpur berkenaan.

“Bimbang sangat kalau-kalau lantai rumah yang sudah berlubang-lubang ini runtuh tiba-tiba.

“Hari ini (semalam) kami sekeluarga membaiki sebaik mungkin kerosakan pada lantai tersebut agar rumah kami dapat diduduki dengan lebih selesa,” katanya ­ketika ditemui Kosmo! di ­Kampung Pasir Raja di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Ramlan Ibrahim, 45, pula berkata, hampir semua perabot dan peralatan elektrik di rumahnya musnah dalam banjir berkenaan.

“Tilam juga tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dibuang. Saya cuba baiki peti sejuk dan mesin basuh, moga-moga masih boleh digunakan.

“Perkara pertama perlu dilakukan sebaik pulang ke rumah membersihkan lumpur tebal,” katanya.

Ramlan berterima kasih dengan ramai sukarelawan yang membantu membersihkan rumah penduduk.

Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor paling teruk terjejas dengan banjir lumpur setebal hampir tiga meter menenggelami perkampungan mereka pada Khamis minggu lalu.

Penduduk kampung itu merupakan yang terakhir ber­ada di pusat pemindahan banjir akibat banjir termenung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI