DOHA – Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu kini menyerahkan kepada para pemainnya untuk melunaskan tanggungjawab penting pada aksi suku akhir Piala Asia 2023 menentang Iran di Stadium Education City malam ini.
Tanggungjawab dipikul barisan pemain Samurai Biru ternyata cukup besar untuk memburu kejuaraan Piala Asia buat kali kelima kerana Moriyasu sedar skuad bimbingannya belum lagi sempurna.
“Semua pasukan di Piala Asia semakin baik dan tahap permainan bola sepak juga sudah meningkat. Saya fikir (menentang Bahrain) kami tidak berada pada tahap terbaik dan masih ada perkara perlu dibaiki.
“Sudah pasti tidak akan ada perlawanan yang sempurna dan saya perlu akui hakikat itu. Kami harus segera melakukan penambahbaikan untuk menghadapi perlawanan selepas ini.
“Apapun kami juga sudah menunjukkan peningkatan seperti pasukan lain dan kini segalanya bergantung kepada usaha pemain,” katanya.
Jepun muncul sebagai salah satu pasukan terbaik daripada aspek penyudah, namun kualiti pertahanan menjadi kebimbangan Moriyasu kerana bolos dalam kesemua empat aksi terdahulu termasuk semasa bertemu dua wakil Asia Tenggara, Vietnam dan Indonesia.
Bagi mengulangi pencapaian selaku juara pada edisi 2011, Jepun kini perlu tampil lebih kebal memandangkan Iran begitu bermotivasi tinggi untuk menamatkan penantian 48 tahun dengan menoktahkan kejuaraan Piala Asia buat kali keempat. – AGENSI