PETALING JAYA – Pasukan Iran mempamerkan aksi luar biasa untuk menewaskan juara empat kali, Jepun dengan kemenangan 2-1 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir Piala Asia 2023 kali ini.
Pada perlawanaan di Stadium Education City, skuad Iran yang menduduki ranking ke-21 dunia terpaksa bertahan dengan Samarai Biru dilihat mendominasi pada awal saingan.
Serangan bertali arus pasukan Jepun akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah, Hidemasa Morita berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-28.
Bersambung pada babak kedua, Team Melli memperkemaskan jentera serangan dan dapat menyamakan kedudukan menerusi penyudah Mohammad Mohebi pada minit ke-55.
Jaringan tersebut menaikkan semangat barisan pemain Iran dalam usaha menyingkirkan Jepun yang dianggap sebagai pilihan utama pada kempen kali ini berdasarkan kedudukan ranking (No. 17) mereka sebagai negara terbaik Asia.
Tuah memihak kepada Iran apabila pertahanan Jepun, Ko Itakura melakukan kekasaran ke atas Hossein Kanani dengan pengadil terpaksa menghadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Kesempatan itu digunakan oleh kapten, Alireza Jahanbakhsh untuk meledak gol kemenangan sekali gus mencerahkan peluang Iran untuk bergelar juara pada kejohanan berprestij Asia itu kali ini. – AGENSI