fbpx

Piala Asia: Australia akur disingkir Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harapan pasukan Australia untuk melangkah jauh tidak kesampaian selepas tewas kepada Korea Selatan pagi tadi. - Foto ihsan FB Subway Socceroos

DOHA – Ketua jurulatih Australia, Graham Arnold mengakui ketumpulan jentera serangan menjadi punca utama pasukannya tersingkir pada kempen Piala Asia 2023 susulan tewas 1-2 kepada Korea Selatan awal pagi tadi.

Pada aksi suku akhir di Stadium Al Janoub itu, The Socceroos berjaya mendahului menerusi ledakan Craig Goodwin di babak pertama, tetapi Korea Selatan bangkit mengikat kedudukan 1-1 pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti Hwang Hee-chan.

Kapten Taeguk Warriors, Son Heung-min menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan menerusi sepakan percuma sebelum nasib Australia terus bertambah malang apabila beraksi dengan 10 pemain selepas Aiden O’Neill dilayangkan kad merah.

Kata Arnold, banyak perkara yang boleh dipelajari oleh pasukannya apabila gagal melunaskan harapan untuk menjulang trofi Piala Asia buat kali pertama sejak edisi 2015.

“Kita mendahului 1-0 dan mencipta banyak peluang keemasan untuk menjadikan kedudukan 2-0 atau 3-0, tetapi segalanya tidak bermakna apabila percubaan dilakukan gagal menerjah jaring,” katanya.

Mengulas lanjut, Arnold enggan menyalahkan pemain pertahanan, Lewis Miller yang dilihat menjadi punca kekalahan apabila melakukan kekasaran sehingga menghadiahkan sepakan penalti kepada Korea Selatan.

“Kami beraksi dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan, tetapi Miller tidak bernasib baik apabila melakukan kekasaran pada masa kecederaan. 

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa dan memberikan sokongan penuh kepadanya. Harap dia dapat fokus bersama kelabnya selepas ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI