KUALA LUMPUR – UMNO akan mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pengampunan penuh ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, usaha itu akan dimulakan dengan perjumpaan antara Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian bagi menerangkan kedudukan sebenar parti itu.
“Kita menjunjung kasih keputusan yang telah dibuat Lembaga Pengampunan, namun kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh.
“Kita akan mengumpulkan tandatangan (ahli UMNO) seluruh negara untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim untuk mempertimbangkan sekali lagi pengampunan ke atas Najib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat khas MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Selain itu, Lokman berkata, UMNO mengucapkan kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas usaha bagi membela bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Kalau nak ikutkan, Najib perlu jalani hukuman satu per tiga, baru pengampunan boleh didengar.
“Tetapi atas usaha Presiden dan Perdana Menteri, Najib punya petisyen dapat didengar lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman Najib sebanyak 50 peratus yang mana beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain itu, denda yang perlu dibayar Najib sebanyak RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.
Mengulas mengenai kenyataan Lembaga Pengampunan, Lokman berkata, makluman mengenai tarikh Najib dijangka bebas adalah kurang tepat memandangkan ia perlu mengambil kira beberapa faktor.
“Sebenarnya ada beberapa perkiraan lain perlu diambil kira. Seperti yang kita maklum, hukuman untuk penjara separuh, tetapi bukan sepenuhnya 6 tahun.
“Dia biasanya hanya dua per tiga dari tempoh hukuman. Kemudian, ada juga benda lain seperti cuti dan sebagainya. Jadi, tak semestinya dia akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028,” ujarnya.
Selain itu, kata Lokman, Najib juga layak untuk memohon bagi mendapatkan parol dan perkara itu sedang diusahakan.
“Semua kepimpinan parti secara konsensus tadi kita berdiri teguh bersama dengan Presiden (Ahmad Zahid) untuk meneruskan usaha.
“Pada masa sama, kita mengharapkan supaya Perdana Menteri juga akan bersama dengan kita dalam usaha untuk mendapatkan keadilan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE