TAPAH- Dua lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor kelmarin, berjaya diberkas.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asnawi berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah warga asing yang berjaya ditangkap setakat ini seramai sembilan orang.
“Dalam operasi hari kedua semalam, kita berjaya menahan tujuh warga asing manakala dua lagi tahanan diberkas hari ini (pagi tadi).
“Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 35 tahun kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah,” katanya di sini hari ini.
Media melaporkan seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot itu merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Bagaimanapun, seorang daripada tahanan berkenaan maut selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melarikan diri. -KOSMO! ONLINE.