fbpx

K2

Aura dapur mewah emas dan putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerapan warna emas dan putih yang seimbang mencetuskan ciri mewah yang harmoni.

DAPUR sering disebut sebagai nadi sesebuah kediaman kerana ia memiliki fungsi penting dalam menjamin kesejahteraan hidup isi rumah.

Ruang tersebut menjadi tempat tersedianya makanan yang akan dikongsi bersama keluarga sekali gus merapatkan hubungan sesama mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya sesetengah pemilik rumah menitikberatkan ruang tersebut dalam aturan hiasan dalaman rumah mereka.

Salah satunya adalah dapur milik pasangan Norahidayah Zakaria, 34, dan suaminya, Norman Hakim, 36, di kediaman Semi D dua tingkat di Vanice of Perak, Lumut, Perak.

Sekali pandang, ruang dapur bertemakan putih keemasan itu menampilkan aura moden dan mewah persis di rumah para bangsawan Eropah.

Jelas kelihatan warna putih yang menonjolkan elemen bersih dan suci mendominasi ruang pada dinding, siling, perabot dan kabinet.

Untuk tidak terlalu serabut, warna emas diselitkan menerusi bahagian-bahagian kecil kabinet, candelier, barang-barang hiasan dan perkakas dapur.

Menurut Norahidayah, mencipta keseimbangan antara dua warna iaitu keemasan dan putih mampu mencipta suasana mewah yang harmoni.

“Saya suka warna gandingan putih keemasan yang seimbang dan saling melengkapi di antara satu sama lain.

“Ini kerana, ia membuatkan ruang tersebut rasa lapang, bersih, kemas dan mewah,” katanya kepada K2.

Pada asalnya, ruang dapur kediaman berkenaan hanyalah bersaiz 8 x 25 kaki persegi (18.5 meter persegi).

Lampu-lampu yang menepati tema.

Namun, setelah direnovasi, ruang dapur menjadi lebih luas iaitu dengan keluasan 30×70 kaki persegi (195 meter persegi).

Antara kawasan yang digunakan bagi meluaskan lagi dapur kediaman berkenaan adalah ruang belakang dan kawasan tanah di luar rumah yang kosong.

Tambah peniaga Kedai Hasil Laut Nourra di Lumut itu, ruang dapurnya yang asal terlalu kecil menyebabkan dia dan suami sepakat untuk meluaskan lagi ruang tersebut.

“Secara keseluruhan, kediaman kami berkeluasan 120×70 kaki persegi (600 meter persegi), tetapi ruang dapurnya agak kecil dan sempit untuk kerja-kerja memasak.

“Oleh itu, kami buat keputusan untuk mengupah orang untuk melakukan renovasi pada ruang ini.

“Kami menggabungkan ruang dapur basah dan dapur kering tetapi ada dinding sebagai pembahagi di antara dua ruang berkenaan,” katanya.

Pada bahagian dapur basah, susunan kerusi pada bar menambah seri pada ruang, manakala sebuah meja makan diletakkan pada bahagian dapur kering.

Mengulas mengenai kos, ibu kepada empat orang anak itu berkata, pengubahsuaian dapurnya menelan belanja lebih kurang RM75,000 hingga RM80,000.

Kos tersebut meliputi keseluruhan upah tukang, barang-barang serta pemasangan kabinet di dapur berkenaan.

Biarpun kos keseluruhan tinggi, namun hampir separuh daripada barangan aksesori dapurnya dibeli di Shopee.

“Walaupun kos kabinet mencecah RM12,000, namun hasilnya sangat kemas dan saya sangat berpuas hati.

“Material kabinet diperbuat daripada material jenis formica laminate. Kalau terpercik masakan, saya terus bersihkan, berkilat semula,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI