MELAKA – Sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah di sini yang tular selepas pekerjanya dipercayai membuang air kecil di longkang berhampiran diarah tutup selama 14 hari.
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Dorothy Dayang Henry Sum berkata, arahan itu dikeluarkan selepas premis tersebut didapati terlalu kotor ketika pemeriksaan mengejut petang semalam.
Katanya, premis itu tidak mencapai markah kebersihan ditetapkan termasuk penemuan puntung rokok dalam stor penyimpanan barang.
“Kita menerima aduan mengenai kejadian tular itu dan pemeriksaan mengejut mendapati restoran ini tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan, sekali gus diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Kita juga mengeluarkan empat notis kompaun berjumlah RM1,500 termasuk dua notis di bawah Peraturan 33 berkaitan kebersihan diri pekerja,” katanya ketika ditemui selepas operasi semalam.
Tambahnya, pemilik restoran memaklumkan dia menyewa ruangan kecil di bangunan bersebelahan premis itu yang mempunyai kemudahan tandas, tetapi berdepan masalah bekalan air.
“Sepatutnya premis makanan perlu ada tandas untuk kemudahan pelanggan dan pekerja, namun tandas disediakan tiada bekalan air. Keadaan ini menyebabkan pekerja terpaksa pergi ke tempat lain menggantikan fungsi tandas,” katanya.
Tambahnya, restoran itu sebelum ini pernah diarah tutup sebanyak dua kali pada 2022 kerana kotor.
Semalam, Kosmo! melaporkan satu klip video tular di laman sosial memaparkan seorang pekerja sebuah restoran dipercayai di Jalan Hang Tuah selamba membuang air kecil di longkang berhampiran premis makanan berkenaan.
Sikap pengotor lelaki itu sempat dirakamkan seorang individu dalam klip berdurasi 21 saat. – KOSMO! ONLINE