ALOR SETAR – Tiga lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk menipu bagi mengurangkan cukai kereta import mewah di Langkawi.
Ketiga-tiga tertuduh, Ong Seng Aun, 59, Hoo Zui Bok, 47, dan Ooi Liang Sheng, 36, masing-masing mengaku bersalah setelah pertuduhan pilihan dibacakan odi hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 ke atas Seng Aun dan Zui Bok yang masing-masing menghadapi satu pertuduhan, sementara RM10,000 ke atas Liang Sheng yang mengaku bersalah atas enam pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Seng Aun yang merupakan pemilik syarikat automotif menguruskan pendaftaran kereta import Langkawi didakwa menggunakan dokumen palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi di Bukit Malut pada 2 Oktober 2021.
Perbuatan itu didakwa bagi mengurangkan duti import sebuah kereta Ferrari seorang individu yang tidak bermastautin di pulau berkenaan.
Sementara, Zui Bok yang juga pemilik syarikat menyelenggara dan menjaga kereta mewah import itu juga didakwa melakukan kesalahan sama bertujuan untuk menipu bagi mengurangkan duti import sebuah kereta Ferrari di sebuah pejabat di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Ulu Melaka di Langkawi.
Liang Sheng yang juga pemilik syarikat berkaitan kereta mewah dan runner itu pula didakwa atas enam kesalahan memalsukan dokumen untuk menipu antara November 2018 hingga Oktober 2021.
Kosmo! pada 17 Januari lalu melaporkan enam lelaki didenda antara RM5,000 hingga RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mengurangkan duti import kereta mewah jenis Porsche, Bentley dan Ferrari di Langkawi.- KOSMO! ONLINE