PETALING JAYA – Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil mengkritik cadangan membenarkan graduan asing berkerja dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia.
Beliau yang dipecat keahlian UMNO pada September tahun lalu berpandangan, langkah itu akan menjejaskan graduan tempatan yang sedang berdepan kesukaran memperoleh pekerjaan.
“Sekarang ini ramai graduan yang tidak ada kerja. Yang ada kerja pula gajinya rendah. Kini kamu mahu import graduan asing dan bayar mereka pula. Jika kamu bayar gaji tinggi kepada graduan asing, ia tidak adil untuk graduan tempatan.
“Jika kamu bayar gaji rendah kepada graduan asing ini, maka gaji graduan tempatan pun akan jadi lebih rendah lagi dan lebih ramai graduan tempatan akan menganggur bawa Grab, Food Panda atau hilang kerja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Isham berkata, jika negara kekurangan graduan tempatan, kemasukan dan latihan di universiti dalam sektor tersebut patut ditambah dan untuk melatih graduan di universiti hanya perlu masa tiga hingga empat tahun.
“Bukannya buka “flood gate” untuk graduan dan pekerja asing dalam sektor nilai tinggi pula. Kamu ingin jaga graduan tempatan atau graduan asing?,” katanya. – KOSMO! ONLINE