fbpx

Syarikat swasta digalak tingkat program pupuk perpaduan kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron (tengah) mencuba alat muzik tradisional sapeh ketika melawat pameran pada Majlis Pelancaran Kongsi Meriah sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di Mydin USJ Subang Jaya hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

SUBANG JAYA – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengalu-alukan kerjasama bersama syarikat-syarikat swasta untuk memperbanyakkan penganjuran program yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja dapat mengumpulkan orang ramai, malah dapat merapatkan lagi hubungan antara semua kaum.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad atau lebih sinonim dengan jenama Mydin atas penganjuran program seperti ini.

“Harapan kita supaya lebih banyak syarikat adakan program yang membawa kesemua masyarakat bersama. Secara tidak langsung akan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis ‘Kongsi Meriah’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina di pasar raya Mydin USJ, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimmat Mydin berkata, sebagai rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan di negara Mydin cakna dan meraikan kepelbagaian kaum di negara serta sentiasa ke hadapan bagi memenuhi keperluan para pelanggannya.

Justeru katanya, bagi menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang diberikan pihaknya telah merangka pelbagai promosi hebat, aktiviti dan juga diskaun bagi menawarkan penjimatan buat pengguna terutamanya bagi mereka yang bakal menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Mydin buat julung kalinya telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kerjasama bersama Kementerian Perpaduan Negara bagi menyantuni dan berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

“Sudah tentunya Mydin amat berbangga untuk bersama dengan pihak Kerajaan khususnya bagi menyokong inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis sama, sebanyak 100,000 kraf naga kertas berjaya diedar dan dicantum melayakkan Mydin menerima pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI