fbpx

Suspek kes dadah lemas ketika lari serbuan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa dijumpai lemas sejauh 10 meter dari jeti Pengkalan Petah, Bachok semalam. - Foto IHSAN BOMBA

BACHOK – Seorang lelaki yang merupakan suspek kes dadah dijumpai lemas selepas terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis di kawasan jeti Pengkalan Petah, di sini petang semalam.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemukan sejauh 10 meter dari lokasi jeti tersebut kira-kira pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan yang mengatakan suspek bertindak melarikan semasa serbuan Ops Tapis Khas dengan terjun ke dalam sungai pada pukul 4.36 petang.

Menurutnya, suspek terjun ke dalam sungai dari bot nelayan yang dinaikinya dan dipercayai tenggelam semasa cuba berenang ke tebing.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan bantuan pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bachok untuk mengesan mangsa.

“Mangsa kemudiannya dijumpai lemas sejauh 10 meter dari lokasi kejadian kira-kira pukul 7 malam,” katanya dihubungi pemberita hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, semakan mendapati, suspek mempunyai enam kes rekod positif dan memiliki dadah.

Katanya, pengecaman suspek juga dibuat oleh abang lelaki itu sebelum mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk dibedah siasat.

“Empat lagi suspek lain dicekup dengan dua daripadanya di kawasan jeti tersebut manakala dua lagi di kawasan jeti Kemasin.

“Kesemua suapek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambah Mohamad Ismail, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI