KUAH dal, kari ikan dan sambal bilis membanjiri hidangan roti canai yang diberi nama roti doll.
Juadah tersebut dilengkapi dengan sebiji telur separuh masak yang ditabur serbuk lada hitam dan putih.
Untuk nikmat sebenar, semua bahan tersebut hendaklah digaul bersama sebelum dijamah bagi mendapatkan rasa yang harmoni.
Jika mahu rasa lebih berlemak, pelanggan boleh menambah sekeping keju di atas makanan tersebut.
Hidangan tersebut merupakan makanan terlaris di Restoran Mee Sham Roti Doll di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.
Menurut Pengurus Restoran, Mohamed Ibrahim Haliggul Jaman, 40, makanan yang diperkenalkan pada 2005 itu kini menjadi tarikan utama di restorannya.
“Tidak kira orang Kedah atau orang luar, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba roti doll.
“Kadangkala, ada yang tidak cukup satu biji. Selepas mencuba, mereka tambah lagi satu hidangan.
“Pernah sekali, pelanggan dari Jepun datang hanya untuk merasai roti doll, sebelum menulisnya dalam majalah pelancongan di sana,” katanya kepada Horizon.
Mengulas lanjut, Mohamed Ibrahim berkata, perniagaan keluarganya itu bermula di sebuah warung pada tahun 2003 di Jalan Putra, Alor Setar.
Setelah dua tahun berniaga, mereka mula memperkenalkan roti doll sebagai menu utama, namun kurang mendapat sambutan.
Setelah mereka berpindah ke Jalan Gunung Keriang pada tahun 2011, roti doll mula mendapat tempat di hati para pelanggan.
Selain roti doll, turut menjadi pilihan sarapan pagi pelanggannya adalah tosai, roti Benggali sardin doll, roti Benggali doll dan roti doll keju.
Turut dihidang adalah tosai rawa, capati, roti jala, roti puri, telur ayam kampung separuh masak, nasi lemak dan nasi kandar.
Katanya lagi, kesemua hidangan sarapan pagi ditawarkan bermula dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Hidangan sarapan kami ditawarkan sehingga 12 tengah hari sahaja. Selepas itu, kami akan menukar menu lain menjelang tengah hari.
“Makanan sebelah petang lebih kepada masakan panas dan berat.
“Ini sesuai untuk mereka yang mahu cari tempat makan tengah hari,” ujarnya.
Bermula pukul 10 pagi, hidangan panas seperti mi, bihun, kuetiau, maggi goreng mamak, mi rebus dan pasembur ditawarkan bagi menambahkan lagi pilihan makanan.
Bagi makanan berat seperti aneka jenis nasi goreng, makanan berkuah serta nasi ayam ditawarkan bermula pukul 12 tengah hari sehingga 8.30 malam.
Tambah Mohamed Ibrahim, kebanyakan masakannya merupakan resepi warisan keluarga daripada ibunya.
“Hampir semua makanan di restoran ini seperti kuah pasembur, mi rebus, kari dan sebagainya merupakan resepi kami sendiri.
“Oleh kerana ia adalah masakan warisan, rasanya menepati cita rasa pelbagai kaum di sini,” jelasnya.
Bagi seleksi minuman, pelanggan boleh memesan aneka minuman jus buah yang terdapat di dalam menu.
Minuman yang mendapat permintaan tinggi adalah jus buah naga, jus buah amra (kedondong) asam boi dan jus mangga.