fbpx

Premis jalankan peleburan sekerap logam haram diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai JAS memeriksa sisa buangan elektronik di sebuah premis di Kawasan Perusahaan Bukit Selambau, dekat Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menyerbu sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti penstoran dan pemerolehan kembali buangan elektronik secara haram di Kawasan Perusahaan Bukit Selambau, dekat sini semalam.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti peleburan sekerap logam.

“Premis tersebut didapati pernah memohon dan mendapat kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) pada 28 Mac 2022 bagi menjalankan proses pulih guna buangan terjadual bagi kod SW104 (sisa buangan logam dengan kandungan tembaga), SW422 (kabel elektronik dengan wayar kuprum) sekerap logam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, kata beliau, premis berkenaan didapati gagal memohon lesen di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mendapatkan lain-lain kelulusan serta kebenaran bagi alat kawalan pencemaran.

“Dalam serbuan itu, kita menyita sebanyak 214 palet buangan terjadual yang dipercayai buangan elektronik dengan berat anggaran 170 metrik tan.

“Premis disyaki cuba untuk menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan elektronik dengan mencampurkan buangan terjadual tersebut dengan sekerap logam dalam aktiviti peleburan,” ujarnya.

Menurutnya, pemerhatian awal mendapati terdapat kemungkinan sisa elektrik dan elektronik tersebut diimport secara haram melalui pintu masuk ke negara ini yang mana siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesahkan perkara itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI