SUNGAI PETANI – Seorang pesara tentera maut selepas motosikal yang dia tunggang melanggar belakang sebuah lori rosak di Kilometer 101.4 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol selatan, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa, Abu Hashim Mat Yusoff, 61, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, nahas berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Suzuki FX dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Sri Manis di Jalan Kuala Kedah, dekat sini menuju Butterworth, Pulau Pinang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa tidak menyedari sebuah lori rosak diletakkan di lorong kecemasan sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan tesebut.
“Akibat rempuhan itu, mangsa maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali semasa ditemui di Unit Forensik HSAH berkata, Abu Hashim dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Butterworth.
“Sejak berhenti kerja sebagai anggota tentera beberapa tahun lalu, dia mengambil upah melakukan kerja-kerja kimpalan di Butterworth.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika dia dalam perjalanan kembali ke tempat kerjanya selepas pulang ke rumahnya di Jalan Kuala Kedah beberapa hari lalu,” katanya.
Tambahnya, mangsa telah berkahwin dengan Che Aini Abdul Hamid, 65, tetapi tidak dikurniakan anak.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keriang Pulau di Alor Setar selepas urusan bedah siasat yang dijalankan petang ini. – KOSMO! ONLINE