fbpx

Permohonan sambung reman polis trafik disyaki minta RM100 dari pelancong UK ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA anggota polis trafik yang dipercayai terlibat kes menawarkan pembayaran saman RM100 kepada pempengaruh media sosial dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi permohonan sambung reman.

IPOH – Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini menolak permohonan sambung reman terhadap tiga anggota trafik yang disyaki terlibat dalam kes menawarkan penyelesaian bayaran saman RM100 kepada pempengaruh media sosial dari United Kingdom (UK).

Majistret Siti Nora Sharif menolak permohonan yang dikemukakan polis terhadap tiga anggota berusia antara 37 hingga 42 tahun itu setelah mendengar alasan oleh peguam mewakili kesemua suspek.

Kesemua suspek sebelum ini direman selama tiga hari sejak Selasa lalu.

Permohonan terhadap anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes berkenaan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Sementara itu, Muhammad Al Hirzan Mahamad Akhir dan Aqmarul Aqil Ismail yang mewakili ketiga-tiga suspek memberitahu, antara alasan yang dikemukakan pihaknya ketika prosiding sambung reman itu adalah tiada mangsa yang tampil (untuk siasatan) selain beberapa isu teknikal lain.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang memakai pelitup muka dan baju berpenutup kepala ‘hoodie’ berwarna gelap itu dibawa masuk ke kamar Mahkamah Majistret pada pukul 1.18 petang sebelum dibawa keluar 40 minit kemudian.

Kesemua suspek dibawa dalam keadaan bergari dan ‘dikawal ketat’.

Berlaku kekeliruan dalam kalangan pengamal media yang menunggu sejak pukul 8.30 pagi lagi berkaitan pintu kesemua suspek dibawa masuk ke kamar mahkamah dan pintu mereka dibawa keluar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi memberitahu, ketiga-tiga anggota terbabit dilepaskan dengan jaminan polis.

“Bagaimanapun, siasatan kes berkenaan masih lagi diteruskan,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di YouTube ‘THREAD the globe’ yang memaparkan pasangan pelancong dari UK dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ disaman anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Dalam video berkenaan, anggota polis trafik itu memberitahu pasangan tersebut bahawa mereka memandu sekitar 80 kilometer (KM) sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60KM

Susulan itu, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang berjumlah RM100 tanpa diberikan surat saman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI