fbpx

Permohonan Muhammad Sanusi pindah dua pertuduhan ke Mahkamah Tinggi dibenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto oleh SHIDIQQIN ZON / KOSMO!

SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya untuk dibicarakan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhammad Sanusi, 50, selaku pemohon untuk memindahkan kes itu.

“Selepas meneliti hujahan bertulis, afidavit sokongan, notis usul dan hujahan lisan kedua-dua belah pihak iaitu pemohon dan responden, mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon (Muhammad Sanusi) untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” kata hakim itu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Januari lalu, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Alasan permohonan dibuat ialah, perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Pembelaan berkata, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana kehakiman itu mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.

Sementara pihak pendakwaan selaku responden dalam hujahan secara bertulis menyatakan, Hakim Mahkamah Sesyen adalah kompeten dan berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan kes jenayah.

Berdasarkan afidavit jawapan terhadap permohonan Muhammad Sanusi, pihak pendakwaan berkata kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti yang didakwa oleh pihak pemohon.

“Seperti mana kes yang dituduhkan terhadap pemohon di bawah akta 15, ia bukanlah dalam kepentingan keadilan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Lebih-lebih lagi kes telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen,” kata pihak pendakwaan.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh perbicaraan pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI