fbpx

Pemilik bengkel rugi RM200,000, 30 motosikal pelanggan hangus dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bengkel milik Azmi yang terbakar di Kampung Biah, Perol, Kota Bharu hari ini. - Fot oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang pemilik sebuah bengkel menanggung kerugian kira-kira RM200,000 selepas lebih 30 motosikal milik pelanggannya yang sedang dibaiki musnah dalam kebakaran di Kampung Biah, Perol di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, Azmi Mat Yassin, 40, turut mengalami kecederaan pada dua jari tangan kanannya ketika cuba menolak motosikal pelanggan selepas api marak membakar bengkel tersebut dan dua buah lagi premis berhampiran.

Menurut Azmi, dia berada di rumahnya di Kampung Tunjong di sini sebelum bergegas ke bengkelnya selepas menerima panggilan telefon daripada pemilik kedai makan yang terletak di sebelah bengkelnya.

Menurutnya, dia tergamam apabila melihat api sedang marak membakar bengkel yang menempatkan lebih 30 buah motosikal pelbagai jenis milik pelanggannya semasa tiba di lokasi kejadian.

“Kebanyakan motosikal pelanggan itu sedang dibaiki. Ada juga motosikal pelanggan yang terbakar itu dibaiki selepas membuat tuntutan insurans akibat kemalangan.

“Motosikal yang musnah dalam kebakaran itu antaranya Yamaha Y15, Honda RS150 dan skuter yang bernilai dalam lingkungan RM5,000 hingga RM8,000 untuk sebuah motosikal,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Azmi menunjukkan dua jarinya yang cedera ketika menolak motosikal pelanggan keluar dari bengkel yang terbakar di Kampung Biah, Perol, Kota Bharu hari ini. – Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

Azmi memberitahu, ada pelanggannya yang datang ke bengkel untuk melihat keadaan motosikal mereka selepas mendapat maklumat berhubung kebakaran itu.

Katanya, dia ketika ini masih buntu memikirkan nasibnya lebih-lebih lagi untuk memaklumkan kejadian itu kepada pelanggan mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, pemilik sebuah kedai makan, Asmizan Mustapha,48, berkata, dia bersyukur kerana sempat menyelamat anaknya orang kelainan upaya (OKU) yang menghidap buah pinggang kronik, Nur Hanis Mohamad, 20, yang berada di dalam sebuah bilik ketika api sedang membakar ruang dapur kedainya.

Katanya, dia terkilan kerana tidak sempat mengambil bungkusan wang hasil jualan dan bayaran tempahan pelanggan berjumlah lebih RM1,500 yang diletakkan di atas meja.

“Saya bersyukur kerana suami yang terperangkap di dalam premis itu selama 15 minit berjaya menendang jeriji sebelum menyelamatkan diri.

“Kesemua peralatan termasuk barang elektrik turut musnah. Kebakaran ini mengakibatkan saya mengalami kerugian melebihi RM20,000,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, Mohd. Roslan Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.23 pagi dan anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit dengan bantuan seramai 20 anggota daripada BBP Ketereh, BBP Tunjong dan BBP Kota Bharu.

“Dua unit kedai melibatkan kedai makan dan bengkel motosikal terbakar 100 peratus. Punca dan kerugian mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI