fbpx

Pastikan RM150 duit BAP sampai penuh di tangan ibu bapa, murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Woh (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Mohamad Fauzi Mahson ketika program penyerahan BAP di SMK Yuk Choy, Ipoh hari ini. - Foto OLEH MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Setiap ibu bapa, penjaga atau murid yang menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) wajib menerima penuh nilai RM150 seperti diumumkan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihak sekolah perlu memastikan perkara itu berlaku tanpa sebarang pemotongan untuk apa-apa pembayaran atau yuran.

“Wajib kita maklumkan kepada rakyat, apabila sampaikan wang BAP, pihak sekolah kena memastikan wang ini adalah disampaikan dengan penuh ke tangan ibu bapa dan pelajar.

“Ini kerana bantuan ini adalah bagi membantu meringkankan beban permulaan persekolahan,” katanya dalam majlis penyerahan cek cura BAP peringkat negeri Perak 2024 yang diadakan di SMK Yuk Choy di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan melalui Belanjawan 2024 memperuntukkan RM788,130,000 kepada 5,254,200 orang murid dengan setiap mereka menerima RM150 secara sekali bayar, bagi meringankan perbelanjaan ibu bapa, penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak untuk menghadapi sesi persekolahan akan datang.

Majlis yang dihadiri oleh Kah Woh itu adalah sebagai simbolik peruntukan yang diterima oleh Perak melibatkan jumlah sebanyak RM48,774,300, untuk diberikan kepada kepada 325,162 murid di negeri itu.

Kata timbalan menteri itu, kehadiran beliau adalah komitmennya bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memastikan pemberian bantuan tersebut berjalan dengan lancar.

Semua 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Perak menerima peruntukan masing-masing seperti Hilir Perak RM2,636,700, Perak Tengah (RM2,398,800), Muallim (RM1,734,900), Manjung (RM5,392,200) dan Larut Matang Selama (RM6,219,900).

Selain itu, Kuala Kangsar menerima RM3,723,300, Kinta Utara (RM13,086,750), Kinta Selatan (RM3,483,300), Kerian (RM3,806,400), Hulu Perak (RM2,358,300), Batang Padang (RM2,596,050) dan Bagan Datuk (RM1,337,700).

Tambah Kah Woh, proses pengagihan itu telah dibermula pada 10 Januari lalu sehingga 10 Februari depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI