fbpx

Menyorok separuh bogel tepi almari elak dicekup imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 134 warga asing ditahan dalam Op Sapu dan Op Selera di sekitar Alor Gajah, Melaka, awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak menyorok di tepi almari di celah kayu dalam keadaan hanya memakai seluar dalam bagi mengelak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka, pada serbuan awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula pukul 11 malam sehingga 3 pagi itu, lelaki berusia 25 tahun warga Bangladesh berkenaan antara 134 PATI yang ditahan dalam Op Sapu dan Op Selera di sembilan lokasi berasingan sekitar Kelemak dan Taman Desa Bertam.

Pengarah JIM negeri, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, serbuan itu melibatkan lokasi-lokasi panas yang dilaporkan menjadi perkampungan warga asing sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk tempatan.

Ujarnya, ketika serbuan beberapa PATI cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di beberapa lokasi sempit termasuk di tepi almari di celah kayu.

“Seorang PATI telah bersembunyi dalam keadaan separuh bogel di tepi almari ketika pasukan JIM menggempur rumah kongsi di tapak projek Perumamahan Kampung Kelemak dekat ini.

“Dia bagaimanapun berjaya dikesan dan dicekup penguat kuasa, ada juga premis yang terpaksa dipecahkan kerana mereka tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SERAMAI 134 warga asing ditahan dalam Op Sapu dan Op Selera di sekitar Alor Gajah, Melaka, awal pagi tadi.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, secara keseluruhan seramai 192 warga asing telah diperiksa dengan 134 daripadanya telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)/ Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Kita telah menahan seramai 101 warga Bangladesh, Indonesia (26), Nepal (satu) dan enam lelaki Myammar yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 48 tahun.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu,” ujarnya.

Anirwan berkata, sebanyak enam saman kepada saksi telah dikeluarkan untuk perintah hadir ke pejabat bagi membantu siasatan dan JIM sedang mengesan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing itu untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI