DUNGUN – Banjir besar berlaku di Hulu Dungun pada minggu lalu telah menyebabkan lapan buah sekolah mengalami kerosakan dengan kerugian keseluruhan dianggarkan hampir RM1 juta.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, kerosakan tersebut membabitkan infrastruktur sekolah dan aset termasuk perabot dan buku murid dan pelajar.
“Lapan buah sekolah di daerah ini dikenal pasti mengalami kerosakan dengan paling terjejas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dan SK Kampung Shukor di Hulu Dungun.
“Kita akan beri fokus terhadap dua sekolah ini ekoran banyak kerosakan yang dialami selain ditenggelami lumpur tebal,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pembersihan di SK Pasir Raja di sini hari ini.
Shafruddin berkata, enam buah sekolah lain yang turut mengalami kerugian ialah SK Delong, SK Minda Talong, SK Jongok Batu, SK Kuala Jengai, SK Tepus dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai di sini.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan SK Pasir Raja dan SK Kampung Shukor yang memasuki hari kelima semalam dibantu pelbagai pihak termasuk bomba, polis, institusi pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan.
“Hari ini ramai sukarelawan turun padang mengembleng tenaga membantu membersihkan kawasan sekolah.
“Hanya 30 peratus lagi kerja-kerja pembersihan yang perlu dilakukan di luar bilik darjah. Pada pengamatan saya, Insya-Allah sekolah ini akan dapat kembali beroperasi mengikut sasaran, Ahad ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE