SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri sedang mengatur beberapa pelan tindakan bagi menangani penurunan paras air Empangan Air Itam sekali gus memastikan bekalan itu mencukupi untuk pengguna di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan bagi membincangkan usaha pembenihan awan dalam masa terdekat untuk meningkatkan bekalan air di empangan terbabit.
“Selain itu, antara kaedah lain yang boleh dilaksanakan adalah dengan menyusun atur semula bekalan air untuk menampung keperluan pengguna kawasan sekitar.
“Kita boleh menyalurkan bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan Empangan Teluk Bahang ke Empangan Air Itam untuk memastikan tiada kawasan terjejas biarpun empangan (Air Itam) sedang berada di paras rendah.
“Dalam masa sama, pengguna dinasihatkan untuk terus berhemah dalam menggunakan air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertanian Pintar dan Pengilangan Makanan: Membangun Masa Depan Mampan di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Datuk Loo Lee Lian.
Kelmarin, media melaporkan kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan penurunan sehingga 37.7 peratus dan dijangka mampu bertahan selama 29 hari.
Bagaimanapun, setakat pukul 1.30 tengah hari, paras air di Empangan Air Itam semakin menurun sehingga 35.4 peratus, berbanding Empangan Teluk Bahang yang mencatatkan paras 87.5 peratus manakala Empangan Mengkuang pula berada pada paras 89.9 peratus.
Pathmanathan mengesahkan kapasiti Empangan Air Itam melepasi tahap waspada dua dengan pihaknya sudah mengusulkan permohonan untuk melakukan pembenihan awan.
Penyusutan itu turut didorong cuaca kering ketika ini dengan empangan berkenaan membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk antaranya meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau. -KOSMO! ONLINE