LONDON – Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton dilapor bakal meninggalkan Mercedes sebaik kontraknya berakhir hujung musim ini untuk menyertai Ferrari pada musim 2025.
Difahamkan Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff akan membuat pengumuman berkenaan dalam tempoh terdekat mengenai perkara tersebut kepada seluruh pasukan terbabit mengenai keputusan itu.
Hamilton dikaitkan dengan perpindahan menyertai Ferrari untuk musim 2024 sebelum dia menandatangani kontrak baharu selama dua tahun pada musim panas tahun lalu untuk kekal bersama Mercedes sehingga penghujung musim 2025.
Bagaimanapun, difahamkan terdapat klausa dalam kontrak berkenaan yang menyebut bahawa dia dibenarkan meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Brackley, England itu pada hujung tahun ini.
Sekiranya berita tersebut adalah benar, ia bermakna Hamilton akan menyertai Ferrari dan menggantikan tempat Carlos Sainz yang hanya memiliki kontrak sehingga berakhirnya musim ini, ketika seorang lagi pelumba pasukan itu, Charles Leclerc dijangka menandatangani kontrak jangka panjang dalam tempoh terdekat.
Hamilton pada Mei 2023 sebelum bersetuju untuk kekal bersama Mercedes pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak memberi jaminan untuk menamatkan kariernya F1 bersama Mercedes dan tidak menolak peluang menyertai pasukan lain.
“Saya melihat pelumba Ferrari di trek dan pernah terfikir bagaimana keadaan saya jika menyarung sut perlumbaan berwarna merah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE