Adakah berdiri tanda hormat kepada guru dilarang oleh Nabi SAW? Sebab saya ada lihat satu video yang menjelaskan sedemikian. Mohon pencerahan.
Jawapan: Larangan dalam hadis, “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka”. Ia bukanlah disebabkan perbuatan berdiri itu tetapi larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya.
Bahkan, dalam hadis lain, Nabi SAW memerintahkan para sahabat agar berdiri untuk Saad apabila beliau datang membacakan hukuman kepada penduduk Bani Quraizah.
Walaupun begitu, perbuatan berdiri tersebut bukanlah kerana ingin mengagungkan individu tertentu, tetapi ingin menghormati dan memuliakannya atas faktor keilmuan, kewarakan atau kemuliaannya.
Antara peranan ilmu hadis adalah menerangkan keaslian sesebuah hadis, di samping membantu memahami makna hadis yang sesuai dengan isyarat daripada Nabi SAW.
Pada hari ini, sering kali mereka yang membaca hadis dalam keadaan gopoh terhadap sesuatu ungkapan dianggap menarik yang disandarkan kepada Nabi SAW.
Lalu mereka berpegang dengan zahir hadis semata-mata tanpa melihat huraian ulama dalam memahami sesuatu hadis.
Selain itu, dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka.”
Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan. Bahkan, Imam Abu Daud tidak memberikan sebarang komentar terhadap hadis ini, bermaksud hadis ini menurutnya adalah salih untuk diamalkan.
Oleh itu, umumnya hadis ini boleh dikategorikan sebagai hadis yang maqbul (diterima periwayatannya).
Hadis ini menunjukkan larangan bagi seseorang yang berdiri untuk mengagungkan individu tertentu.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menukilkan pandangan Imam al-Nawawi yang mengatakan bahawa makna hadis ini yang paling tepat (asah) adalah larangan seseorang Muslim merasa suka ketika orang lain berdiri untuk dirinya.
Muhammad Asyraf al-‘Azim al-Abadi juga mengatakan bahawa larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya. Namun, sekiranya terdapat orang yang berdiri ataupun tidak untuk dirinya dan tidak terlintas dalam dirinya sedikit pun perasaan suka tersebut, maka tidak mengapa.
Oleh itu, pemahaman mereka yang melarang perbuatan berdiri tanda hormat kepada seseorang disebabkan perbuatan berdiri itu sendiri adalah tidak tepat.
Hal ini kerana terdapat hadis lain daripada Abu Sa’id al-Khudri RA beliau berkata: “Sesungguhnya penduduk Quraizah apabila mereka bersetuju untuk menerima hukuman daripada Sa’ad, maka Nabi SAW menghantar beliau kepada mereka”.
Lalu beliau datang menaiki keldai lalu baginda Nabi SAW bersabda: “Berdirilah kamu semua untuk tuan kamu.” (Riwayat Abu Daud)
Mulla ‘Ali al-Qari menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan tentang perbuatan memuliakan golongan yang mempunyai kelebihan daripada aspek keilmuan, kewarakan atau kemuliaan dengan cara berdiri saat kehadiran mereka.
Begitulah pandangan jumhur ulama ketika berinteraksi dengan hadis ini.
Walaupun begitu, perlu dicermati hadis ini dengan baik dan teliti kerana keharusan yang disebutkan dalam hadis tersebut bukanlah bersifat mutlak kerana ia terikat dengan tujuan.
Hal ini kerana, jika berdiri itu bagi tujuan memuliakan dan menghormati, maka dibolehkan. Namun, jika tujuannya untuk mengagung-agungkan individu tertentu, maka ia dilarang.