KUANTAN – Bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), kerajaan akan melaksanakan projek pelebaran jalan di lebuh raya berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang bakal dijalankan oleh pemegang konsesi, Anih Berhad itu dijangka bermula pada suku kedua 2024.
“Ia melibatkan jajaran bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Lingkaran Tengah Utama, Bentong.
“Projek itu juga turut merangkumi pembinaan satu lagi terowong, penambaikan terhadap bahu jalan dan disediakan lampu jalan di keseluruhan jajaran untuk keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya KLK terutamanya dari Plaza Tol Bentong hingga ke Plaza Tol Gombak sepanjang 42 kilometer yang sering berlaku pada musim perayaan, cuti umum dan juga cuti hujung minggu.
Katanya, selain pelan jangka panjang kerajaan negeri turut mengenalpasti pelan jangka pendek yang akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi Anih Berhad termasuk menjadualkan kerja pembaikan di luar waktu puncak.
Selain itu katanya, pihak konsesi juga akan mengeluarkan nasihat jadual perjalanan kepada pengguna ketika musim
perayaan serta menambah jumlah kakitangan yang bertugas untuk memastikan kejadian luar jangka yang berlaku ditangani segera.
“Menyediakan perkhidmatan kren dalam keadaan tunggu sedia (standby) agar sebarang kejadian luar jangka dapat ditangani dengan segera serta beberapa lagi pendekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE