fbpx

Aaron Kwok kesal hampakan peminat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron Kwok terkilan apabila tidak dapat hadir ke Malaysia pada saat akhir untuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Rob N Roll.

KUALA LUMPUR – Aktor terkenal Hong Kong, Aaron Kwok terkilan apabila tidak dapat hadir ke Malaysia pada saat akhir untuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Rob N Roll, hari ini kerana mengalami masalah kesihatan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh rakan artis yang juga pelakon terkenal, Maggie Cheung yang terpaksa menggantikan tempat Aaron untuk terbang ke Malaysia bagi mempromosikan filem lakonan mereka.

Aaron atau nama lengkapnya Aaron Kwok Fu-shing, 59, dalam satu kenyataan kepada media berkata, dia kesal apabila terpaksa membatalkan kehadirannya ke Malaysia pada saat akhir disebabkan masalah kesihatan fizikal, sekali gus tidak dapat bertemu dengan peminat kesayangannya di sini.

“Sejujurnya saya kesal dan terkilan apabila tidak dapat hadir ke majlis tayangan perdana filem Rob N Roll hari ini di Malaysia kerana mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba.

“Atas nasihat doktor, saya disarankan untuk mengelak daripada menaiki penerbangan jarak jauh. Maka, saya terpaksa melupakan hasrat untuk bertemu dan mengubati kerinduan peminat di Malaysia,” katanya.

Untuk tidak menghampakan peminat, tempat pelakon dan penyanyi yang mula mencipta nama sejak tahun 1980 itu telah digantikan oleh aktres, Maggie Cheung apabila terpaksa mengambil penerbangan terus ke Malaysia, malam tadi.

Kata Maggie, selepas dimaklumkan perlu menggantikan tempat Aaron, dia tidak teragak-agak untuk bersetuju, lantas terus terbang ke Malaysia untuk mempromosikan filem yang turut menampilkan pelakon, Gordon Lam.

Pada masa sama, Maggie atau nama sebenarnya Maggie Cheung Ho-yee turut melahirkan rasa bimbang terhadap Aaron dan berharap agar pelakon itu pulih dengan segera.

“Saya sangat teruja apabila dapat sama-sama datang ke Malaysia dan mempromosikan filem Rob N Roll, sekali gus bertemu dengan peminat di sini.

“Tapi pada masa sama, saya juga bimbang dengan tahap kesihatan Aaron dan berharap agar dia segera sembuh seperti sediakala. Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuknya,” kata Maggie.

Filem Rob N Roll mengisahkan tentang bekas ahli gusti, Mui Lam Tin, lakonan Aaron Kwok yang bergelut dengan masalah hidup, sehingga terpaksa memberanikan diri untuk menjadi seorang perompak besar-besaran.

Pertemuannya dengan dua orang sahabat iaitu Robby lakonan Gordon Lam dan Mo Yung Fai (Richie Ren) yang bekerja di sebuah pusat jagaan, secara tidak sengaja telah membentuk satu pasukan perompak.

Mereka kemudiannya menjadi mangsa buruan seorang pegawai polis bernama Ginger, lakonan Maggie Cheung yang mahu menumpaskan kumpulan tersebut.

Rob N Roll bakal ditayangkan di pawagam di Malaysia pada 10 Februari nanti, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI