LONDON – Sembilan individu dikejarkan ke hospital berhubung satu serangan asid yang menyasarkan seorang ibu dan dua anaknya, lapor akhbar Daily Mirror semalam.
Polis Metropolitan London berkata, pihaknya kini melancarkan siasatan bagi memburu suspek. Kejadian berlaku di Clapham South, London.
Menurut laporan, suspek memberhentikan kenderaan yang turut dinaiki oleh seorang ibu dan dua anaknya sebelum menyerang dan menyimbah asid ke arah mereka sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan).
Dia kemudian melarikan diri.
“Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan, selain tiga mangsa lain yang kami percaya cuba membantu mereka turut dibawa ke hospital.
“Tiga lagi anggota polis yang bertindak balas di lokasi kejadian turut dibawa ke hospital. Kami percaya mereka hanya mengalami cedera ringan,” kata Detektif Superintendan Alexander Castle.
Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti bahan yang digunakan oleh suspek, namun pada peringkat ini, polis percaya ia adalah sejenis bahan kimia menghakis. – AGENSI