fbpx

Sultan Ibrahim selamat tiba di Subang, berangkat ke Istana Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim selamat tiba di Pangkalan Udara Diraja Malaysia, Subang sekitar pukul 9.45 pagi tadi.

PETALING JAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat tiba di Pangkalan Udara Diraja Malaysia, Subang bagi menyempurnakan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka Baginda yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dengan menaiki pesawat khas, mendarat sekitar pukul 9.45 pagi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Kerabat Diraja Negeri Selangor dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zahari Mohd. Ariffin.

Sultan Ibrahim kemudian melalui kawalan kehormatan setempat disusuli bacaan doa sebelum berangkat menuju ke Istana Negara.

Sementara itu, di luar pekarangan Pangakalan Udara Diraja Malaysia, Subang, kira-kira lebih 1,000 rakyat mula berkumpul sejak pukul 7 pagi tadi bagi menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda dengan penuh rasa teruja.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI