PYONGYANG – Dua remaja lelaki dari Korea Utara dihukum melakukan kerja berat selama 12 tahun kerana menonton drama televisyen Korea Selatan, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Dalam satu rakaman video yang diperoleh oleh Perbadanan Penyiaran British (BBC), dua remaja berusia 16 tahun itu dilihat memakai pakaian berwarna kelabu.
Mereka dikelilingi oleh beratus-ratus orang ketika dijatuhi hukuman kerana menonton drama terbitan negara jirannya itu.
Semua bentuk hiburan dari Korea Selatan termasuk program televisyen adalah diharamkan di Korea Utara.
Menurut undang-undang Korea Utara pada 2020, menonton dan mengedarkan sebarang bentuk program dari Korea Selatan akan dihukum penjara bagi tempoh tertentu atau mati.
“Budaya rejim boneka (Korea Selatan) kini telah tersebar dalam kalangan remaja kita,” kata seorang pengulas televisyen yang merujuk kepada Korea Selatan.
“Mereka hanya berumur 16 tahun dan telah memusnahkan masa depan masing-masing” ujarnya. – AGENSI