SHAH ALAM – Pelajar sekolah yang didakwa membaca doa Qunut Nazilah bagi memulakan kejohanan sukan seperti yang tular di media sosial perlu diberikan kefahaman menyeluruh mengenai amalan berkenaan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, doa khas itu bersesuaian dibaca jika umat Islam ditimpa bencana seperti serangan musuh, penularan wabak penyakit dan kemarau.
Namun, jelas beliau, bacaan itu tidak sesuai bagi memulakan perlawanan sukan apatah lagi yang melibatkan pelbagai kaum.
“Jika perlawanan sukan, ia tidak sesuai dan perlu diberi sedikit pemahaman mengenainya. Guru pengiring yang menghantar pelajar ke kejohanan sukan itu mungkin boleh menasihati mereka kerana terdapat banyak doa lain lebih sesuai untuk dibaca,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular seorang pemilik akaun Facebook meluahkan kekecewaannya selepas doa itu dibaca pemain beberapa sekolah sebelum masuk ke padang dalam satu kejohanan ragbi di Sabak Bernam. – KOSMO! ONLINE