KUALA LUMPUR – Juara empat kali Piala Asia, Jepun menepati ramalan apabila mudah mengatasi Bahrain 3-1 pada aksi pusingan 16 di Stadium Al Thumama sebentar tadi.
Menanti skuad Samurai Biru di suku akhir adalah pemenang satu lagi aksi pusingan 16 yang membabitkan Iran dan Syria di Stadium Abdullah Bin Khalifa, tengah malam ini.
Terdahulu, anak buah Hajime Moriyasu jelas menjadi pasukan yang lebih baik di separuh masa pertama apabila menguasai 61 peratus pemainan namun hanya mampu meledak satu gol menerusi Ritsu Doan pada minit ke-31.
Bersambung babak kedua, Bahrain tampil lebih baik dan mampu mengimbangi kualiti Jepun namun Samurai Biru hanya memerlukan empat minit untuk menghasilkan jaringan kedua menerusi bintang sensasinya, Takefusa Kubo
Penjaga gol Jepun, Zion Suzuki yang melepaskan lima gol dalam tiga aksi peringkat Kumpulan D seakan terus bernasib malang apabila ‘menghadiahkan’ gol saguhati buat Bahrain.
Bagaimanapun, minit ke-72, penyerang kelab Belanda, Feyenoord, Ayase Ueda segera mematikan sisa perjuangan pasukan lawan untuk mengesahkan kemaraan Jepun yang hadir selaku pasukan nombor satu di Asia. – KOSMO! ONLINE