GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mencadangkan kerajaan menganjurkan satu lagi kongres ekonomi yang bertajuk Kongres Ekonomi Madani (KEM) yang melibatkan semua rakyat merentas etnik dan kaum.
Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melibatkan menteri-menteri bukan Melayu dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pada 29 Februari hingga 2 Mac depan.
Menurutnya, cadangan Perdana Menteri itu adalah tidak wajar memandangkan fokus kongres yang diadakan itu bertujuan membentuk hala tuju pembangunan sosio-ekonomi kaum bumiputera sahaja.
“Adalah tidak logik masalah dan isu orang Melayu di negara ini dibincangkan dengan kehadiran kaum bukan Melayu kerana berdasarkan pengalaman kongres akan menyentuh isu-isu sensitif yang tidak wajar diperdengarkan oleh kaum lain.
“Kita bersetuju untuk Perdana Menteri membuat pembaharuan tetapi tidak perlu melibatkan menteri bukan Melayu kerana menteri bukan Melayu pun wajib patuhi arahan Perdana Menteri setelah usul-usul dalam kongres diterima,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Anwar berkata, penyertaan menteri-menteri bukan Melayu dalam Kongres Bumiputera yang bakal diadakan itu adalah pendekatan baharu dilakukan dibawah Kerajaan Madani agar isu ekonomi ditangani secara bersama merentas etnik dan kaum.
Menurut Mohd Yussof, Pemenang sangat bersetuju bahawa masalah meliputi kaum-kaum lain di Negara ini seperti Cina, India, Orang Asli serta kaum-kaum lain seperti Iban, Dayak, Murut dan sebagainya diberi bimbingan dan bantuan yang sewajarnya dan satu satu lagi Kongres Ekonomi khas perlu dilaksanakan melibatkan semua rakyat merentas etnik dan kaum.
Bagaimanapun, katanya fakta kontrak sosial harus diterima oleh semua kaum dengan hati yang terbuka kerana ia menjadi sistem kerajaan di negara ini yang tidak akan diubah buat selama-lamanya demi kemaslahatan rakyat yang berbilang kaum.
Sehubungan itu, Pemenang menggesa Perdana Menteri agar meneruskan dasar membantu kaum bumiputera tanpa rasa bimbang dengan keresahan kaum lain, kerana sejarah membuktikan kerajaan tidak pernah menzalimi atau menganiayai mana-mana kaum pun di negara ini. – KOSMO! ONLINE