fbpx

Langkawi turut berdepan gangguan bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengguna di Langkawi diminta berhemah menggunakan air susulan fenomena El Nino. - Gambar hiasan

LANGKAWI – Sembilan lokasi di Langkawi termasuk kawasan tumpuan pelancong disenaraikan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) berdepan gangguan bekalan air akibat fenomena El Nino.

Kawasan tersebut adalah Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Chenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.

SADA dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, musim kemarau panjang dan kering atau fenomena El Nino sedang melanda negara, khususnya di utara Semenanjung.

“Paras air Sungai Melaka di Pulau Langkawi semakin menyusut dan secara tidak langsung memberi kesukaran kepada SADA untuk memenuhi permintaan air terawat.

“Permintaan bekalan air terawat oleh pengguna semakin meningkat, khususnya menjelang cuti perayaan sambutan Tahun Baharu Cina dan persekolahan tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, produksi pengeluaran semua Loji Rawatan Air (LRA) di Pulau Langkawi juga menunjukkan trend penurunan dan dijangka berlarutan sehingga paras Sungai Melaka kembali normal.

“Keadaan lebih terkesan apabila berlaku pertambahan lokasi kebocoran paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air terawat ke Pulau Langkawi dari LRA Sungai Baru, Perlis yang memberi kesan langsung kepada pengagihan air.

“Justeru, SADA menasihatkan pengguna di Pulau Langkawi lebih berhemah ketika menggunakan air untuk aktiviti harian sepanjang musim kemarau ini yang dijangka berlanjutan bagi menjamin bekalan air tidak terganggu,” ujarnya.

Sebarang aduan atau pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian hotline di 1300-88-0017 dan Bilik Gerakan Langkawi di 04-9610546.

Maklumat gangguan bekalan air turut dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok SADA serta laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI