GEORGE TOWN – Kerja-kerja lencongan untuk menyambung dua saluran paip berukuran 600 milimeter (mm) yang baharu di Sungai Perai, dekat sini sudah disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, setakat pukul 4.30 pagi tadi saluran paip baharu itu telah disambungkan manakala bahagian paip bawah air yang bocor di dasar sungai telah diputuskan.
“Ujian dan pengoperasian saluran paip telah bermula. Ini akan disusuli tidak lama lagi dengan usaha memulihkan semula bekalan air untuk 84 peratus daripada 120,000 pengguna terjejas lebih awal daripada jadual,” katanya di sini, hari ini.
Selasa minggu lalu, bahagian saluran paip 1,350 mm di dasar Sungai Perai sekali lagi dikesan mengalami kebocoran yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 120,000 pengguna di negeri ini. – KOSMO! ONLINE