KUALA LUMPUR – Kenderaan membawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat tiba di Pintu 1 Istana Negara kira-kira pukul 10.39 pagi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Negara adalah bagi menyempurnakan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Terdahulu, pesawat peribadi membawa Seri Paduka Baginda mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang kira-kira pukul 9.40 pagi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pukul 9 pagi.
Ketibaan Seri Paduka Baginda di TUDM, Subang disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin.
Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.
Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.
Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun. – KOSMO! ONLINE