PETALING JAYA – DITEBAK sudah bergelar tunangan orang, pelakon Afifah Nasir bertegas hanya akan mendedahkan status hubungan atau perkembangan fasa hidupnya apabila tiba masa yang tepat.
Kata pemilik nama penuh Nur Afifah Md. Nasir, 30, dia belum mengikat pertunangan dengan kekasihnya, gara-gara sekeping gambar mereka berbusana sedondon tular.
Menurut Afifah, majlis yang dihadiri mereka bukanlah majlis pertunangan, sebaliknya kenduri akikah anak saudaranya.
“Bukan. Bukan bertunang. Kami pakai sedondon sebab akikah anak akak saya, semua pun pakai sedondon macam hari raya.
“Nanti apabila sampai masa saya akan maklumkan,” katanya kepada HibGlam
Adik kepada pelakon Anzalna Nasir itu berkata, sejak kelmarin, dia banyak dihubungi banyak media termasuk media mahukan kesahihan status perhubungan dengan jejaka dalam sekeping foto menunjukkan dirinya dalam persalinan rona senada ungu muda sedondon dengannya.
“Minta maaf, hari ini dan semalam memang tak berhenti-henti panggilan. Penat nak menjawab,” ujarnya disertakan emoji ketawa.
Begitupun, Afifah yang selesa disapa Fifa enggan memperincikan identiti jejaka tinggi lampai berbaju Melayu warna serupa, sekali gus membiarkan status lelaki terbabit masih misteri.
Rata-rata pengikut laman Instagramnya teruja selain memuji menganggap mereka pasangan serasi dan sepadan.
“Bila nak kahwin tu? Jangan tangguh, ini pasangan paling ideal,” kata seorang kenalan.
“Cantik dan kacak,” tulis seorang pemilik akaun lain.
Selepas putus cinta dengan seorang jejaka yang hanya dikenali sebagai Wan Ariff beberapa tahun lalu, pelakon Cik Misi 1 2 3 itu bersikap tertutup mengenai perhubungan baharunya.
Tahun lalu juga, Afifah pernah mengakui sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang namun hingga kini tiada sebarang perkembangan diumumkan. – KOSMO! ONLINE