PEMBUATAN aplikasi merupakan salah satu kemahiran dalam bidang teknologi yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya khususnya buat golongan muda.
Pada masa sama, ia dapat membantu memberikan pelbagai solusi dalam pelbagai bidang, antaranya pendidikan, pengurusan, pembuatan, agrikultur dan sebagainya.
Bagi mencungkil bakat generasi muda, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) menganjurkan Hari Kolokium Multimedia Digital.
Tujuan utama program berkenaan adalah untuk mengetengahkan idea kandungan aplikasi daripada pelajar dengan menggunakan teknologi tiga dimensi (3D) dan realiti terimbuh (AR).
Pensyarah FSKTM dan Pengerusi Program Kolokium Multimedia Digital, Prof. Dr. Rahmita Wirza O.K. Rahmat berkata, penganjuran program itu dilaksanakan dengan kerjasama Telaga Biru Sdn. Bhd. (Telaga Biru) dan Telaga Biru Digital sebagai wakil industri serta mentor kepada pelajar dalam proses penghasilan kandungan.
“Semua pelajar menghasilkan ‘mobile application’ dengan menghimpunkan karya buku terbitan Telaga Biru dan ditambah baik dengan kandungan berbentuk 3D interaktif dan AR.
“Ia diserlahkan dengan alih suara (voice over) bagi menjadikan bahan lebih menarik untuk tatapan awam.
“Intipati program ini merangkumi pembentangan berbentuk ‘pitching’ oleh semua 34 orang pelajar terlibat.
“Pembentangan itu untuk tujuan penilaian dan potensi perluasan pengkomersialan hasil projek daripada isi kandungan buku-buku di bawah penerbitan Telaga Biru khususnya,” katanya ketika ditemui Infiniti pada majlis pembentangan Hari Kolokium Multimedia Digital di FSKTM, UPM baru-baru ini.
Tambah Rahmita, program yang julung kali diadakan itu juga memberi pendedahan kepada pelajar mengenai persekitaran sebenar bekerja dalam industri penghasilan kandungan aplikasi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif, Telaga Biru Digital, Nor Azri Jalel memberitahu, kerjasama antara pihaknya dan UPM membuka ruang baharu bagi mencungkil bakat generasi muda dalam industri aplikasi.
Katanya, pelbagai idea dapat dimanfaatkan dalam program itu sebagai salah satu intipati kepada industri penerbitan digital bagi menarik minat golongan muda.
“Semua pelajar mempunyai idea menarik dan mereka juga bersungguh-sungguh dalam merealisasikannya dalam bentuk kandungan 3D dan AR.
“Kita juga melihat potensi bakat muda ini selepas mereka tamat pengajian.
“Mereka boleh menjadi sebahagian keluarga Telaga Biru.
“Jadi, mereka boleh menyumbang kreativiti untuk penghasilan produk-produk digital kami,” ujarnya.
Tambah Nor Azri, dalam era teknologi masa kini, aplikasi merupakan wadah generasi muda dalam kehidupan seharian.
Justeru katanya, bakat muda dalam bidang aplikasi amat diperlukan bagi membawa idea baharu supaya sesuai dengan selera pengguna seusia mereka.
Sementara itu, salah seorang pelajar FSKTM, Heon He Teng berkata, program Hari Kolokium Multimedia Digital merupakan peluang bagi dirinya menunjukkan kemahiran dalam penghasilan aplikasi menerusi teknologi 3D dan AR.
Dia yang mencipta aplikasi dengan kandungan pelancongan di Malaysia berkata, program tersebut memberi pendedahan terutama berkaitan cara bekerja dalam industri untuk menzahirkan idea dimiliki.
“Saya melihat program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyalurkan idea mereka menerusi aplikasi yang boleh menjadi produk digital pada masa akan datang.
“Ia juga memberi pendedahan tentang cara industri beroperasi dan bayangan masa depan tentang kerjaya dalam bidang ini,” kongsinya.
Tambah He Teng, aplikasi yang dihasilkan olehnya menyasarkan pengguna dalam kalangan kanak-kanak dan pelancong untuk mempelajari lebih lanjut tentang Malaysia.
Dalam aplikasi itu, He Teng turut memuatkan hologram 3D dan kamera realiti tambahan, di mana objek 3D akan muncul apabila mengesan penanda.