ISLAMABAD – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan isterinya dijatuhi hukuman penjara 14 tahun selepas didapati bersalah melakukan rasuah dalam kes melibatkan hadiah yang diterimanya semasa mentadbir negara itu.
Keputusan itu dibuat sehari selepas Imran dihukum penjara 10 tahun dalam kes berkaitan pembocoran rahsia negara.
Ia juga diputuskan seminggu sebelum pilihan raya Pakistan berlangsung.
Tidak dijelaskan sama ada hukuman terhadap Imran akan dijalankan secara berturut-turut atau serentak susulan perbicaraan yang diadakan di dalam penjara, di mana dia ditahan sejak penangkapannya pada Ogos tahun lalu.
Sementara itu, isterinya, Bushra Bibi, telah ditahan reman sepanjang perbicaraan. – AFP