fbpx

Bekas pengerusi koperasi dituduh rasuah, pindah wang aktiviti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini atas pertuduhan rasuah dan pemindahan wang daripada aktiviti haram. Foto SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Seorang bekas pengerusi sebuah koperasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah dan pemindahan wang daripada aktiviti haram bernilai ratusan ribu ringgit yang didakwa dilakukan pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mazlan Hashim, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan rasuah dan satu pemindahan wang daripada aktiviti haram tersebut dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada nilai projek berjumlah RM9.7 juta dari pengarah sebuah syarikat.

Wang rasuah bernilai RM970,000 itu dipercayai diminta sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender cadangan mereka bentuk, membekal, membina, menguji terima dan mentauliah 1MWp Solar Farm & Green House di atas sebahagian daripada Lot 3375 Mukim Padang Kerbau, Sungai Tiang di Pendang, dekat sini dari Myangkasa Services Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Susuran Sosenati, Pusat Perniagaan Sosenati dekat sini pada November 2016.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM274,608 daripada pengarah syarikat sama melalui akaun Affin Islamic Bank milik koperasi sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender sama. .

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Januari 2017 di Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Alor Setar dekat sini.

Bagi pertuduhan ketiga dihadapinya, tertuduh didakwa telah memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM265,000 dari akaun koperasi berkenaan ke akaun Affin Islamic Bank Berhad miliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI