KUALA LUMPUR — Susulan penyebaran khabar angin mengenai perkahwinan usahawan popular, Mawar Karim, bekas suaminya, pelakon juga pengacara, Fizo Omar enggan mengiyakan mahupun menafikan dakwaan tersebut.
Pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar tidak mahu memandai-mandai mengesahkan perkara yang di luar pengetahuan, apatah lagi dia hanya berstatus bekas suami. Bagi Fizo, lebih baik berita tersebut disahkan sendiri oleh Mawar.
“Saya memang ada dengar khabar angin dia sudah mendirikan rumah tangga. Khabar angin itu datang daripada pelbagai individu.
“Bagaimanapun tentang kepastian berita itu perlu bertanyakan sendiri dengan tuan punya badan. Saya dan dia berhubung hanya mengenai anak sahaja.
“Selebihnya saya tidak berani nak bercakap lebih. Tidak sesuai untuk saya bercakap tentang hal itu kerana hanya bekas suami,” katanya kepada Kosmo! Online.
Begitupun, tidak kira khabar angin itu benar mahupun tidak, aktor berusia 38 tahun itu tetap mendoakan kebahagian bekas isteri bersama pasangan pilihan hatinya.
“Sekiranya betul dia sudah berkahwin, saya tumpang gembira dan bagus untuk dia. Itu akan jadi kelebihan kepada anak kami, Maryam sebab ada dua bapa dan dua ibu.
“Saya juga mendoakan dia bahagia dan gembira dengan pasangannya jika benar-benar sudah berkahwin.
“Bagi saya manusia ini diciptakan memang untuk berpasangan baik lelaki mahupun perempuan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Nasi Lemak Kopi O, disini, hari ini.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan usahawan Mawar Karim sudah menamatkan zaman janda dengan orang kenamaan.
Berdasarkan sebuah video yang tular, Fizo juga tidak menafikan pernah mengucapkan tahniah kepada bekas isterinya itu.
Sebelum ini, Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013, namun bercerai pada Julai 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia enam tahun.
Fizo kemudian mendirikan rumah tangga dengan Fazeera Nazri Azrai pada 21 Oktober 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata. — KOSMO! ONLINE.