BATU PAHAT – Seorang akauntan wanita sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM776,000 akibat percaya kepada skim pelaburan palsu yang diiklankan dalam laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, wanita berusia 49 tahun itu mula terjebak pada bulan Oktober tahun lalu setelah melihat iklan pelaburan Accerx sebelum berurusan dengan empat individu melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, melalui urusan itu, mangsa ditawarkan menyertai jual beli mata wang kripto sebelum memuat turun aplikasi Accerx Malaysia seterusnya memberikan maklumat peribadi termasuk akaun bank bagi tujuan pendaftaran.
“Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu telah memasukkan wang berjumlah RM776,000 ke dalam 23 akaun bank syarikat berbeza secara berperingkat.
“Selepas kira-kira dua bulan, mangsa kemudiannya membuat semakan keatas akaun pelaburannya dan mendapati mempunyai keuntungan yang banyak namun perlu membayar satu peratus dari nilainya jika ingin mengeluarkan duit berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Ismail lagi, akibat gagal membayar wang diminta, mangsa telah mendapati akaun pelaburannya disekat dan sehingga laporan dibuat semalam masih belum menerima sebarang bayaran. – KOSMO! ONLINE