KUALA LUMPUR – Jeritan keterujaan bergema menyambut ketibaan kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Jalan Parlimen di sini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rakyat jelata tidak lekang dengan senyuman sebaik melihat kenderaan Seri Paduka berdua.
Lebih mengujakan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut melambai kepada mereka.
Sebelum itu, Seri Paduka berdua menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik yang bermula dari Istana Negara dan kemudiannya di Dataran Parlimen sebagai simbolik tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan istiadat penuh bermakna itu beberapa jam lebih awal seawal pukul 7 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE