PETALING JAYA – “Terima kaseh Kenit jaga saya dan juga cantik gelang, saya suka sangat”.
Itu antara komen balas Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada sebuah hantaran di laman TikTok milik @Rezqah.Rezki yang juga salah seorang petugas di Istana Negara.
Tunku Azizah meninggalkan komen berkenaan bagi menzahirkan terima kasih kepada individu tersebut kerana telah menghadiahkan seutas gelang baru-baru ini.
Difahamkan gelang tersebut adalah sebagai cenderahati sebelum Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pulang ke negeri Pahang.
Menerusi hantaran TikTok itu juga, individu yang dikenali sebagai Kenit itu turut berkongsi perasaan sedih untuk berpisah dengan Seri Paduka Baginda berdua.
“Walaupun lima tahun berlalu, patik belum puas nikmati kasih sayang Tuanku. Sumpah patik menyayangi Tuanku sama seperti seorang ibu, Tuanku juga mencurahkan kasih sayang sepenuhnya buat patik.
“Patik akan sentiasa mengingati Tuanku sehingga akhir helaan nafas patik. Ampun patik kadangkala degil dan nakal sepanjang berkhidmat untuk Tuanku,”luahnya di laman TikTok.
Malah Kenit menambah, dia juga sebenarnya belum bersedia untuk berpisah dengan Seri Paduka Baginda berdua.
“Patik harap Tuanku telah pun baca surat cinta buat Tuanku yang hadir jauh dari lubuk hati patik.
“Semoga Tuanku berdua sihat selalu. Menjunjung kurnia Tuanku, We love Tuanku, ikhlas dari Patik Kenit,”tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi perasaan sedih dan hiba atas majlis perpisahan itu.
“Air mata ini turut mengalir seolah-olah merasai suasana ini,”tulis @innobellabell.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Adik Kakok.
“Seorang Raja yang tidak pernah meletakkan jarak antara Raja dan rakyat, semoga berjumpa lagi Tuanku,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE