PETALING JAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan berangkat ke Istana Negara esok bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Baginda akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan hari ini.
Menerusi atucara Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 itu esok, Sultan Ibrahim dijangka bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor kira-kira pukul 7.45 pagi dari Istana Bukit Serene.
Baginda akan diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Sultan Ibrahim akan melalui Kawalan Kehormat Setempat oleh Johor Military Force (JMF) sebelum menaiki pesawat khas.
Pesawat terbabit dijangka akan berlepas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, di sini kira-kira pukul 9 pagi.
Terdahulu, pada 27 Oktober tahun lalu, Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara sebulat suara mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.-KOSMO! ONLINE.