fbpx

Selamat tinggal Istana Negara – Tengku Puteri Iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsi Tengku Puteri Iman di laman Instagramnya hari ini.

PETALING JAYA – “Last day (hari terakhir). Goodbye Istana Negara (selamat tinggal Istana Negara)”.

Demikian luahan oleh puteri Yang di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan yang dimuat naik menerusi satu hantaran di laman Instagramnya hari ini.

Pada hantaran itu juga, Tengku Puteri Iman turut berkongsi gambar bersama tiga lagi adik-beradiknya iaitu Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Terdahulu, sebelum keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda ke negeri Pahang, mereka telah diringi laungan azan di Istana Negara.

Azan itu dilaungkan oleh Pembantu Pegawai Agama di Istana Negara Mohd. Mustafidurrohman Mohd. Syahroni.

Laungan azan itu juga menambahkan lagi sayu dan pilu warga Istana Negara dan mereka berkesempatan mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda berdua.

Seri Paduka Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk Istiadat Keberangkatan Balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintahan.

Kenderaan yang membawa Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya menuju ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk menaiki pesawat pulang ke Pahang.

Al-Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari 2019.

Seri Paduka Baginda akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI