fbpx

‘Saya bukan permaisuri, saya suri permai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU AZIZAH di sisi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah.

ANTARA tugas atau peranan seorang isteri adalah menghormati, mentaati dan memberikan sokongan kepada suami.

Itulah yang dilakukan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sering menemani baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke mana sahaja dan sentiasa setia di sisi.

Malah, Yang di-Pertuan Agong juga menyifatkan isteri baginda itu sebagai seorang yang sempurna dan telah melakukan banyak tugas sebagai seorang permaisuri serta isteri dengan memberikan semangat kepada baginda untuk meneruskan tugas sebagai Agong.

Tunku Azizah bertitah bahawa baginda ialah suri permai yang menjaga rumah tangga.

“Saya suri permai, bukan permaisuri. Saya merupakan suri di rumah, di mana saya menjaga makan dan menentukan semua (hal-hal rumah tangga).

“Tuanku jaga negara, saya jaga rumah,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah juga cukup terkenal dengan kebolehan memasak, malah baginda telah menerbitkan buku masakan berjudul Air Tangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada 2005.

Selain itu, anakanda pasangan diraja itu dilihat kerap menemani ke mana-mana acara keluarga serta menyantuni rakyat.

Titah Tunku Azizah, sepanjang hampir 38 tahun mendirikan rumah tangga bersama Al-Sultan Abdullah, baginda sememangnya kerap mengetepikan protokol dan membawa anak-anak bersama untuk menyantuni rakyat.

“Sejak awal usia perkahwinan, Tuanku sudah ‘mengheret’ saya ke kampung dan tempat-tempat lain secara santai dan kami mengetepikan protokol. Apabila ada anak, kami bawa bersama.

“Tuanku sejak awal sudah menggalakkan saya untuk pergi berjumpa rakyat,” titahnya.

TUNKU AZIZAH berkenan memasak untuk mangsa bah dalam satu kejadian banjir yang melanda negara.

Tunku Azizah juga bertitah bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan individu yang mendorong minat Raja Permaisuri terhadap fabrik sehingga diangkat sebagai ikon fabrik.

“Sebenarnya, minat ini datang daripada Tuanku Agong kerana semasa kami mula-mula berkahwin, proses untuk kami menimang cahaya mata itu mengambil masa begitu lama.

“Sehinggalah satu hari, Tuanku datang kepada saya dan bertitah bahawa baginda mahu saya melakukan sesuatu buat Tenun Pahang dan saya bersetuju.

“Sejak itu, saya mula jatuh cinta dan bermulanya perjalanan Tenun Pahang,” titahnya.

Tunku Azizah turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak kerajaan, kementerian serta Kraftangan Malaysia yang banyak membantu baginda dalam mewujudkan institusi serta memberi tunjuk ajar kepada baginda untuk mempertingkatkan lagi pengusahaan tenun.

Baginda Raja Permaisuri terkenal dengan sikap merendah diri juga bertitah bahawa bukan baginda seorang sahaja yang terlibat dalam memajukan Tenun Pahang.’

MINAT Tunku Azizah dalam seni turut didorong oleh Al-Sultan Abdullah.

Titah Tunku Azizah, usaha tersebut dicapai bersama dengan pihak-pihak kementerian, Kraftangan Pahang dan Kraftangan Kuala Lumpur serta pihak penjara yang melantik baginda sebagai Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia bagi program rehabilitasi jabatan itu.

Titah baginda lagi, selain galakan dan dorongan Tuanku Yang di-Pertuan Agong, minat Tunku Azizah terhadap produk seni turut membolehkan baginda membawa seni tenunan ke peringkat lebih jauh.

“Bagi seseorang itu menerajui sesuatu, harus ada minat, bukan sekadar untuk melawa sahaja.

“Tuanku menggalakkan saya melakukan segalanya, termasuk memasak, namun saya sentiasa tahu had saya,” titahnya.

Dalam pada itu, mengenai pengambilan anak angkat sindrom Werewolf, Missclyen Roland, 2, dari Bintulu, Sarawak, baginda menyatakan kemungkinan akan menemui ‘anak istimewa’ itu pada bulan depan.

“Saya ambil dan dukung, rasa kasihan dan sayang.

“Saya cakap dekat Tuanku nak ambil anak angkat, tanggung pelajaran dan perubatan.

“Bukan ambil daripada keluarganya, tapi cari perubatan, nak tolong,” imbas baginda saat bertemu Missclyen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI