KOTA KINABALU – Perbuatan seorang bapa berusia 49 tahun mengugut guru sekolah memakan diri apabila dia diberkas polis semalam.
Suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas guru terbabit membuat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, sumber memberitahu, guru berusia 40 tahun itu dipercayai menangkap pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika merokok dalam tandas sekolah.
Menurutnya, pelajar itu kemudian menghubungi bapanya meminta agar datang ke sekolah sebelum lelaki tersebut menyerang guru berkenaan.
“Keadaan menjadi tegang apabila suspek datang dalam keadaan marah dan mendakwa guru terbabit memukul anak lelakinya.
“Guru itu cuba menerangkan kejadian sebenar, namun suspek tidak dapat menerima dan memaki hamun serta mengamuk di dalam kawasan sekolah.
“Suspek turut bertindak agresif termasuk menolak dan mencekik guru sehingga hampir terjatuh. Beberapa guru membantu menenangkan keadaan dan kejadian sempat dirakam individu lain sebelum tular dalam media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pelajar terbabit masih dibenarkan menduduki SPM walaupun sudah dibuang sekolah.
“Kita mengesahkan kejadian pelajar merokok dalam tandas sekolah adalah benar. Setiap calon SPM hendaklah akur kepada peraturan sedia ada di sekolah selain menjaga tingkah laku yang baik agar tidak mengganggu perjalanan peperiksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE