MENTALITI luar biasa yang ada pada Brendan Gan wajar dijadikan tauladan dan Harimau Malaya memerlukan lebih ramai pemain sepertinya untuk kekal berdaya saing di pentas tertinggi.
Walaupun aksinya tidak selincah dulu, perjalanan kariernya ketika beberapa kali keluar daripada ‘mimpi ngeri’ kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan pulih daripada kanser testis menjadikan pemain 36 tahun ini sebagai ‘pahlawan’ sejati skuad Harimau Malaya.
Bintang Selangor FC ini seakan masih sukar mempercayai apa yang dilalui sepanjang dua tahun ini khususnya selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan.
“Jadi, semua ini adalah satu peringatan, semua orang menghadapi ujian mereka sendiri sama ada kecil atau pun besar. Namun, kegigihan adalah menjadi kunci utama.
“Sesuatu yang ‘gila’ untuk melihat apa yang berlaku dalam tempoh dua tahun,” katanya yang mampu melaksanakan tugas dengan baik ketika bantu Harimau Malaya ikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan E, Khamis lalu.
Aksi dengan Korea Selatan menjadi penampilan tunggal Brendan di Piala Asia selepas tidak mendapat peluang pada dua perlawanan awal bertemu Jordan dan Bahrain.
Dalam masa sama, pemain kelahiran Australia itu anggap tiada apa-apa yang mustahil dan menjelaskan hanya kerja keras mampu merealisasikan impian besar malah nekad untuk terus menyumbang kepada skuad negara.
“Impian makin berkembang setiap minit sejak kita mula menyaksikan pasukan negara layak ke Piala Asia. Seterusnya adalah kembali ke padang dan cuba beraksi baik untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Dapat menyertai 26 pemain untuk bersaing di pentas terbesar di Asia menjadi satu penghargaan buat saya. Selepas ini pastinya saya mahu terus menyarung jersi Haimau Malaya,” katanya.