PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memutuskan untuk menanggung caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi hampir 40,000 pemandu teksi di seluruh negara.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, bantuan caruman itu adalah antara insiatif yang akan dilaksanakan oleh MOT tahun ini.
Beliau berkata, bantuan caruman Perkeso itu akan dimulakan terlebih dahulu dengan pemandu teksi memandangkan rata-rata mereka terdiri daripada warga emas dan veteran tentera.
“Mereka dipilih kerana mereka pemandu tetap dan kita tahu implikasi kewangan yang diperlukan bagi bantuan caruman itu.
“Kami akan menggunakan hasil jualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) bagi menanggung bantuan caruman itu. Sebanyak 50 peratus daripada hasil jualan NPI akan diperuntukkan bagi tujuan itu termasuk inisiatif lain,” katanya pada sidang akhbar hari ini. – KOSMO! ONLINE